Sunday, 1 May 2011

TUDUNG TAK WAJIB?

“Yus, boleh i tanya u satu soalan.” Tanya Lissa memulakan perjumpaan petang itu kepada saya.

“Satu soalan berharga 5 ringgit.” Saya bergurau dengan beliau.

“Tak kisah, 10 ringgit pun i sanggup bayar.” Kami gelak.

Petang itu Lissa menghubungi saya, katanya ada benda penting yang mahu dia tanya . Kebetulan ketika itu saya berada di Borders, Time Square sedang mencari buku untuk dibeli. Saya menyuruh Lissa berjumpa di Starbuck.

Saya tidak pernah berjumpa dengan Lissa. Kalau ada pun hanyalah di alam maya. Dengan kemudahan Yahoo Messenger (YM) beliau sering bertanya pelbagai perkara tentang agama, lebih-lebih lagi berkaitan dengan hak-hak wanita.

“Mengapa Islam mewajibkan perempuan pakai tudung.” Tanya Lissa.

Pertamanya saya cuba mencari jawaban yang sesuai untuknya. Lissa yang berada di depan saya ini bukanlah seorang Muslimah yang bertudung litup, beliau hanyalah seorang perempuan yang sedang mencari makna menjadi seorang Muslim.

“Tudung tak wajib pun.” Jawab saya selamba.

“Eh, biar betul.”

“Tudung tak wajib, tapi menutup aurat itu wajib.”

“Ohh. Aurat itu macam mana pula” Saya tak nampak yang Lissa faham, tetapi dia sedang ligat berfikir.

“Aurat itu menutup sebahagian tubuh badan yang tidak boleh ditayangkan kepada orang lain secara terbuka. Macam tayang free dekat wayang.” Usik saya. Lissa cuba membetul-betulkan duduknya.

“Jangan terasa hati. Saya tak perli awak, tapi memberitahu definasi aurat. Lagipun kita jumpa ini pun nak bincang pasal ini kan?” Dia mengangguk kemudian senyum.

“Awak percaya tak, dalam al-Quran Allah sebut pasal aurat ini pertama sekali pada lelaki. Bukan pada perempuan.” Saya cuba mencari point lain untuk tidak membuatkan beliau kurang selesa membincangkan perkara ini.

“Entah, tak tahu pun.” Jawab lissa jujur.

“Dalam surah An-nur surah yang ke 24 ayat 30, Allah berfirman, “Katakanlah kepada orang lelaki yang beriman: "Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan memelihara kemaluannya; yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat.” Saya cuba mengingat-ingat kembali potongan ayat dari surah an-Nur.

“Dalam ayat ini, orang pertama yang diingatkan tentang aurat ini ialah lelaki, bukannya perempuan. Maknanya, dalam hal aurat tidak adil jika kita hanya membicarakan tentang wanita. Sepatutnya lelaki perlu lebih tahu dan aware dengan perkara ini.”

“Awak sokong lelaki ke perempuan?” Tanya Lissa. Kami tergelak.

“Ok, lepas itu.” Gesa lissa.

“Lepas ayat tentang aurat ini ditujukan kepada lelaki, barulah Allah tujukan perintah menuntup aurat ini kepada wanita. Firman Allah dalam surah yang sama tapi ayat ke 31, “Katakanlah kepada wanita yang beriman: "Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak dari padanya. Dan hendaklah mereka menutupkan kain kudung kedadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya kecuali kepada suami mereka,....”

“Awak tahu tak, arahan menutup aurat ini adalah antara kebaikan yang besar Allah berikan kepada wanita.”

“Kenapa pula? I rasa selesa saja pakai macam ini.”

“Betul ke awak selesa? Cuba kalau ada orang pandang awak macam ini.” Saya bulatkan mata, kemudian pandang tanpa kelip pada Lissa.

”Eh, seram sejuk juga.” Lissa menyuruh saya berhenti.

“Ha, tau pun. Itu sebab Allah perintahkan sama ada lelaki mahupun wanita untuk menutup aurat. Lebih-lebih lagi untuk melindungi wanita dari benda-benda macam itu lah.”

“Firman Allah dalam surah al-Ahzab surah ke 33 ayat 59, “Hai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mukmin: "Hendaklah mereka mengulurkan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka." Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenal, karena itu mereka tidak di ganggu..”

“Dalam ayat ini, Allah kata tujuan perintah Dia kepada umat Islam untuk menutup aurah ialah supaya perempuan-perempuan tidak diganggu dan mudah untuk kita kenal.”

“Very impress. Tak tahu pula i dalam al-Quran ada sebut pasal gangguan ini. Al-Quran dah lama kan?”

“Yup, lebih dari 1400 tahun al-Quran diwahyukan. Kandungannya penuh dengan hikmah dan kebaikan. Sama ada untuk masa depan, mahupun sekarang.”

“Awak tahu tak. Kalaulah tak ada arahan menutup aurat ini, saya yakin gejala sosial yang dasyat akan jadi. Masing-masing akan membuat etika pakaian sendiri, dan masyarakat akan hilang moral di atas perkara ini.”

“For Example, kalau tak ada arahan ini sure bogel pun masyarakat boleh terima kan? Ish, gile!” Saya gelak kecil mendengar contoh yang diberi Lissa.

“By the way, kalau i tutup semua badan i kecuali muka dan tangan yang u kata tadi. Then i nak macam bergaya sikit, ala macam fashion-fashion sikit boleh tak?”

“Of course boleh. Tapi awak kena berpada-pada lah dengan fashion yang dipakai itu. Janganlah terlalu ranggi. Kejap saya ada contoh pakaian Muslimah yang bergaya.” Saya pusing laptop saya ke arah Lissa dan menunjukkan gambar seorang Muslimah Turki berpakaian.

“Wah, great. Smart-lah dia pakai macam ini. Tapi kan, i takutlah nak terus pakai macam ini.” Lissa suarakan keresahan dia.

“Ikut kemampuan Lissa. Kalau Lissa nak berubah perlahan-lahan pun tak kisah. Sebab Islam bukanlah agama yang mendesak. Tapi agama yang selalu bagi kemudahan dan bertolak ansur dengan penganutnya. Mula-mula, pakai pakaian yang longat sikit.” Lissa senyum. “Kemudian barulah tutup kepala, dan seterusnya. Awak yang tahu keadaan awak, jadi awak berhak ke atas diri awak.”

“Eh dah pukul 6. Saya nak balik. Malam ini saya ada meting. InsyaAllah kalau ada masa kita boleh borak lagi.” Ujar saya pada Lissa. Saya kemas-kemas kemudian memberikan buku Ask Brother Shah kepada beliau.

“Ini buku tulisan guru saya, Brother Shahkirit. Saya tengah terjemah buku ini dalam bahasa Melayu. Awak ambil ini, kemudian baca dekat rumah. Apa-apa yang awak tak faham, jangan malu-malu untuk call saya.” Saya akhiri perjumpaan tersebut.

“Kalau tak call u pun, nanti i YM u.”

“Okeyh”

No comments: